KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina jambatan di kawasan benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Lanchang, Rantau Panjang di sini yang pecah pada 26 Disember lalu.
Pengerusi Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr. Izani Husin berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan oleh kerajaan negeri semasa lawatan Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi ke lokasi sebelum ini.
“Kita telah adukan perkara ini kepada mereka (Kerajaan Persekutuan), pembinaan jambatan itu dijangka akan mempercepatkan lagi aliran air keluar berbanding pembinaan terowong.
“Jadi kita serah Menteri dan profesional mengkaji pelaksanaan pembinaan benteng di negeri ini,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Kamaruzaman Mohamad (Gual Periok-Pas) semasa Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu memberitahu, kerajaan negeri telah mengambil maklum masalah banjir yang sering melanda kawasan Rantau Panjang.
Katanya, susulan itu kerajaan negeri mencadangkan pembinaan alur limpah di kawasan iaitu Kampung Tok Sangkut, Tok Derpah dan Lancang bagi memastikan alirkan keluar air lebih laju serta lancar.
“Selain mengurangkan banjir di Rantau Panjang, pembinaan itu mampu menggelakkan kerosakan ke atas ban di Sungai Lemal-Lancang yang boleh menyebabkan berlakunya kerugian setiap kali banjir.
“Ia, perlu dilaksanakan segera supaya dapat mengurangkan beban kapasiti air Sungai Lemal-Lancang sekali gus membolehkan air surut dengan cepat,” ujarnya.
Dr. Izani berkata, cadangan pembinaan terusan ‘by pass’ Sungai Lemal-Lancang di Kampung Pengkalan Teluk akan disambung ke Sungai Meranti dalam menggurangkan risiko banjir.
Katanya, berpandukan kepada pandangan profesional apabila semua projek ini selesai ia mampu mengurangkan risiko banjir di kawasan Sungai Golok.-UTUSAN











