PONTIAN: Hanya linangan air mata pada wajah 14 mangsa apabila dua buah rumah mereka di Kampung Parit Selangor, dekat sini musnah dalam kebakaran semalam.
Kejadian pada pukul 10.30 pagi itu menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang, manakala persiapan Hari Raya Aidilfitri termasuk pakaian dan kuih-muih semua hangus.
Seorang mangsa, Md. Farid Mahpul, 64, berkata, dia dan isterinya, Rosniwati Rosnin, 46, sedang menyiapkan juadah ‘munjung’ yang ditempah oleh pelanggannya.
Ketika sedang memasak, dia melihat kepulan asap dari salah sebuah rumah menyebabkan dia bergegas keluar dan meninggalkan semua bahan-bahan yang sedang dimasak ketika itu.
“Tiada apa yang sempat diselamatkan dan saya menjerit meminta semua ahli keluarga termasuk bapa mentua, Rosnin Ahmad, 89, yang tinggal bersama saya keluar dari rumah segera. Selain itu, tiga orang anak dan seorang kakak ipar, Hasnah Rosnin, 60, yang menghidapi penyakit buah pinggang bergegas keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Md. Farid yang menjalankan perkhidmatan sajian makanan bersyukur kerana semua ahli keluarga dari kedua-dua rumah berjaya menyelamatkan diri sebelum api bertambah marak.
“Saya tidak pasti punca kejadian, mungkin berlaku litar pintas kerana rumah yang didiami telah berusia lebih 30 tahun,” katanya.
Sementara itu, pemilik sebuah lagi rumah, Mohd. Faisal Saidi, 38, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja sebagai pembantu pemandu lori sebuah pasar raya untuk menghantar bekalan barangan.
“Ketika kejadian isteri, Siti Nor Faezah Kosnin dan lima orang anak berada di dalam rumah dan terus keluar apabila terdengar jeritan menyuruh mereka keluar segera. Semua kelengkapan persekolahan bagi empat orang anaknya, seorang di sekolah menengah dan tiga orang di sekolah rendah hangus terbakar termasuk buku-buku teks,” katanya.
Kini mereka menumpang sementara di rumah abang iparnya, Misnan Rosnin, 69, yang tinggal di belakang rumah yang terbakar sebelum mencari tempat berteduh yang baharu.
“Terdapat tiga buah rumah keluarga yang berdekatan, mujur kebakaran tidak merebak ke rumah sebuah lagi milik abang iparnya,” katanya yang menyifatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini hambar susulan kejadian itu.
Sementara itu, dua buah jentera FRT dan sebuah jentera EMRS dari Balai Bomba Pontian dan Balai Bomba Pontian Baru dikejarkan ke lokasi kejadian bersama 19 anggota diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba, Azhar Abdul Jalil bagi memadamkan kebakaran. – UTUSAN










