Dua pemandu maut lori bertembung di Maran - Utusan Malaysia

Dua pemandu maut lori bertembung di Maran

KEJADIAN kemalangan maut melibatkan dua buah lori di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Dua pemandu lori maut setelah kenderaan dipandu mereka bertembung dalam nahas jalan raya di kilometer 67, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Kampung Luit di sini pukul 12.30 tengah hari ini.

Dalam insiden itu, Ismanizam Zulkanain Azmi, 22, dari Kampung Peramu, Kuantan dan Nik Mohamad Zainudin M. Baki, 38, dari Felcra Sri Makmur maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian pemandu lori penghantar barang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di lokasi kejadian tiba-tiba lori dipandu mangsa hilang kawalan ketika melalui jalan selekoh lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan sawit di laluan bertentangan.

“Akibat daripada kemalangan itu kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zamri, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, lokasi kejadian merupakan jalan berselekoh dan semasa kejadian cuaca adalah baik.

“Berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian mendapati punca kemalangan adalah daripada kecuaian pemandu lori penghantar barang yang gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori membawa muatan sawit,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN