JERANTUT: Ekoran cuaca panas bermula pertengahan bulan lalu, kawasan Sungai Tembeling berhampiran perkampungan Melayu Ulu Tembeling di sini bertukar menjadi dataran pasir seolah-olah gurun dan pantai yang panjang.
Fenomena sama juga kelihatan di pesisir sungai berdekatan Kampung Kuala Sat di sini apabila dataran berpasir di situ digelar pelancong dari negara Eropah sebagai ‘Sat Long Beach’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Seberang Bantal, Jamarizan Rashid, 46, berkata, fenomena dataran Sungai Tembeling berpasir merupakan perkara biasa setiap kali musim panas.
“Sebelum ini pada penghujung tahun lalu dan awal Januari, kawasan aliran Sungai Tembeling digenangi air melebihi paras 106 meter, iaitu aras bahaya sehingga melimpah masuk ke dataran kampung ini, tetapi keadaan sekarang kering-kontang dan berpasir.
“Suasana ini memberikan peluang penduduk melakukan aktiviti menoreh getah dan menangkap ikan malah kanak-kanak dan remaja paling gembira kerana menjadikan kawasan berpasir di tengah sungai sebagai padang bola sepak dan bola tampar,” katanya di Kampung Bantal di sini semalam.
Menurut Jamarizan, kawasan yang dipenuhi pasir juga menyempitkan alur air sehingga menyukarkan laluan bot penambang membawa penumpang dan barang ke Kuala Tahan termasuk ke kawasan pelancongan di sepanjang sungai tersebut.
Katanya, bagi pengusaha serta penggiat ekopelancongan, mereka gembira kerana dalam keadaan cuaca panas ketika ini, ramai pelawat domestik dan asing berkunjung ke Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Jeram Perahu untuk rekreasi seperti memancing, bermain air dan menikmati makanan tempatan.
“Fenomena ini sudah menjadi lumrah buat penduduk di sini, namun kami tetap berwaspada kadang-kadang cuaca tidak menentu dan hujan lebat sehingga boleh menyebabkan paras air Sungai Tembeling meningkat,” katanya.
Pemandu pelancong Pusat Pelancongan Kuala Sat, Alias Hashim, 46, berkata, dataran berpasir itu merupakan aset tarikan pelawat ke sini, menyaksikan pelancong dari Eropah dan Scandinavia suka ‘berjemur’ di kawasan itu selain berkelah di tepi sungai sambil menikmati makanan tempatan.
“Sejak awal bulan lalu, lebih 1,000 orang pelancong luar terutama dari negara Eropah singgah menginap pusat inap di sini selepas Taman Negara Kuala Tahan untuk menikmati suasana perkampungan termasuk budaya orang Melayu Kuala Sat,” katanya.











