PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan lelaki warga Israel yang ditahan memiliki enam pucuk pistol bersama 200 peluru hidup mempunyai agenda tertentu termasuk mengancam keselamatan individu berprofil tinggi di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, siasatan pelbagai sudut termasuk mengapa suspek memiliki banyak senjata dalam simpanannya.
“Kita (polis) sedang menyiasat dari semua sudut dan tujuan utama pistol berkenaan. Kalau betul dia mahu mengancam, entah-entah saya juga boleh jadi sasarannya.
“Jadi, buat masa ini siasatan menjurus ke arah itu. Kita juga tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai agenda lain seperti saya nyatakan semalam akan melihat adakah dia mahu mengancam keselamatan Yang di-Pertuan Agong atau Perdana Menteri Malaysia atau juga orang berkepentingan lain,” katanya di sini.
Terdahulu, Razarudin mengesahkan mengenai penahanan sepasang suami isteri warga tempatan kerana disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel.
Razarudin berkata, kedua-dua mereka direman tujuh hari bagi siasatan mengikut Akta Senjata 1960 dan enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan penahanan pasangan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di bazar Ramadan di Kuala Selangor.
Berpandukan maklumat pasangan berkenaan, polis kemudian menemukan sepucuk pistol berwarna perak berhulu coklat di dalam bonet kereta jenis Honda Jazz milik mereka.
Kelmarin, seorang lelaki warga Israel menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara terbongkar selepas dia ditahan sebelum menemukan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.
Lelaki berusia 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia.
Pemeriksaan di bilik hotel menemukan semua senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4 ; Smith and Wesson ; Sih Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.
Kehadiran lelaki itu di negara ini didakwa bagi membunuh seorang rakyat Israel disyaki berada di negara ini berhubung isu keluarga. – UTUSAN











