Bapa cederakan anak dipenjara lima tahun - Utusan Malaysia

Bapa cederakan anak dipenjara lima tahun

SEORANG bapa (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan mencederakan anak kandungnya yang berusia 16 tahun enam bulan di Rembau pada Januari lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang bapa yang sebelum ini didakwa mencederakan anaknya di Kendong, Rembau, lebih sebulan lalu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini, hari ini.

Tertuduh, berusia 47 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Norma menjatuhkan hukuman berkenaan daripada tarikh tertuduh ditangkap.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anak kandungnya dengan menggunakan suatu alat yang digunakan sebagai senjata untuk melakukan kesalahan yang mungkin menyebabkan kematian iaitu satu kerusi plastik, satu bakul pakaian dan satu papan seterika.

Kesalahan itu dilakukan pada 23 Januari lalu kira-kira pukul 11.45 malam di sebuah rumah di Kendong, Rembau.

Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh berhadapan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang mana tertuduh boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu.

Tertuduh yang diwakili peguam, Roslaili Alias memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman minimum berikutan tertuduh hanya bekerja sebagai mekanik lori dengan gaji RM1,000 sebulan dan menanggung anaknya yang dicederakan itu serta ibu bapa yang telah uzur berusia 70-an.

“Tertuduh juga mempunyai penyakit asma dan merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan. Mata kiri tertuduh rosak dan tidak nampak sepenuhnya. Semasa hari kejadian, mangsa dipukul berpunca dari penipuan dan provokasi ditimbulkan dengan menuduh dirogol tertuduh.

Menurut Roslaili, perkara itu dinafikan tertuduh dan menyebabkan tertuduh hilang pertimbangan dan telah memukul untuk mendidik.

“Anaknya berusia 16 tahun sering keluar bersama teman lelaki dan ada kalanya tidak pulang ke rumah. Tertuduh bimbang dengan keselamatan mangsa,” katanya.

Bahkan menurutnya lagi, kecederaan pesakit bukan lah kecederaan parah berdasarkan laporan dari Hospital Tampin, pesakit telah dirawat kerana mengalami gegaran di kepala.

“Simptom pening seketika, tidak alami hilang ingatan, tiada perubahan tingkah laku, luka dijahit di kepala sahaja. Bagaimanapun tertuduh telah insaf dan berjanji tidak mengulanginya lagi, ini juga merupakan kesalahan pertama tertuduh,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran ke atas tertuduh.

“Mohon pemenjaraan yang berat dikenakan kepada tertuduh atas kesalahan yang serius, di mana tertuduh telah menggunakan kekerasan kepada anak sendiri. Tertuduh sebagai bapa seharusnya melindungi anak sendiri.

“Sungguh pun anak menimbulkan masalah, kekerasan bukanlah jalan penyelesaian. Tertuduh telah berlebihan dalam menggunakan kekerasan kepada mangsa, jika atas tujuan mendidik, tidak perlu menggunakan senjata seperti bakul, meja seterika dan kerusi plastik yang mana dilihat barang tersebut pecah untuk memukul mangsa,” katanya.

Menurutnya, akibat dari perbuatan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan di kepala sehingga perlu dijahit.

Sebelum ini, di Mahkamah Sesyen Seremban, tertuduh telah mengaku tidak bersalah merogol anaknya sendiri yang di bawah umur dalam kejadian di Kendong, Rembau, November tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan dibenarkan dan kes tersebut akan disebut semula pada esok, 6 mac untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Pada 24 Januari lalu, media melaporkan seorang remaja perempuan dipukul teruk oleh bapanya menggunakan pelbagai objek sehingga mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital

Mangsa dipercayai dipukul dengan teruk disebabkan bapanya tidak berpuas hati dengan tindakannya membocorkan rahsia dirogol kepada teman wanita bapanya yang turut tinggal di rumah tersebut. 

Mangsa mengalami beberapa kesan kecederaan di bahagian bahu kanan, kiri, bahagian belakang kepala sebelah kiri, tangan sebelah kanan dan di bibir.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN