KOTA BHARU: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Mualamat) memperuntukkan RM500,000 sepanjang Ramadan tahun ini bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara.
Ketua Operasinya, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, pada masa sama, CSR menjadi platfrom pemerkasaan komuniti serta memperkuatkan penyebaran syiar Islam dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, Ramadan Teristimewa Bersama Bank Muamalat, Ziarah Ramadan dan Sebelum Ramadan merupakan antara program CSR diadakan sepanjang bulan ini.
“Program Ramadan Teristimewa Bersama Bank Muamalat bermula 15 Mac hingga 2 April melibatkan Johor, Kelantan, Sabah dan Pulau Pinang dengan meraikan anak-anak yatim.
“Program Ziarah Ramadan memilih rumah anak yatim atau rumah kebajikan tertentu sebagai penerima bantuan dan sebagainya. Sehingga kini kita telah menyantuni 10 rumah anak yatim di 14 negeri melibatkan 500 penerima,” katanya kepada pemberita selepas program Ramadan Teristimewa Bersama Bank Muamalat di sini, kelmarin.
Selain itu jelasnya, pihaknya merupakan institusi perbankan pertama menganjurkan Solat Subuh Seperti Jumaat di negara ini dengan kerjasama beberapa pihak seperti selebriti Alif Sattar, kerajaan negeri dan agensi-agensi lain. – UTUSAN










