KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mempertahankan pendiriannya supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecat menteri yang membuat cadangan untuk `bak kut teh’ dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara.
Kata beliau, ia bukan soal terdapat sembilan lagi makanan lain turut dimasukkan di dalam senarai makanan warisan negara, tetapi tentang relevannya untuk menyenaraikan makanan yang kebanyakkan penyediaanya mempunyai unsur asas babi.
“Apakah kamu tahu, senarai yang dimasukkan di dalam warta itu adalah ‘bak kut teh’ bukannya seafood kut teh, ayam kut teh dan bak itu bermaksud daging yang secara khususnya untuk daging babi di dalam sebutan Hokkien.
“Ya memang bak kut teh boleh ditukar menjadi daging yang halal mengikut kamu, tetapi adakah kamu tahu berapa banyak bak kut teh yang dikatakan halal dan dijual di pasaran? Jawapannya hampir semua bak kut teh yang dijual adalah mempunyai unsur daging babi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai kenyataan balas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing yang mahu politik ekstrem berbaur perkauman yang dimainkan Dr. Akmal dihentikan berikutan cadangannya supaya Malaysia mengiktiraf bak kut teh sebagai hidangan warisan negara.
King Sing menjelaskan, cadangan menu berkenaan hanyalah satu daripada 10 hidangan baharu yang termasuk dalam senarai makanan warisan negara, dan boleh ditukar kepada daging lain.
Bagaimanapun, kenyataan itu juga dibidas Muhamad Akmal dengan berkata, King Sing sebenarnya lebih ektremis kerana menyentuh sensitiviti orang Melayu.
“Adakah kamu memberi maksud apabila kami bercakap mengenai perkara yang sensitif di hati orang Melayu khususnya dikatakan ekstremis?
“Jika begitu, yang ektremis adalah orang seperti kamu yang tidak tahu menjaga sensitiviti majoriti rakyat beragama Islam di negara ini,” katanya.- UTUSAN










