MERSING: Persiapan awal Syawal yang dilakukan sebuah keluarga di Kampung Tanjung Resang, Endau dekat sini musnah apabila kediaman mereka terbakar malam tadi.
Mohd. Saifulizam Saat, 38, berkata, kebakaran pada pukul 9.15 malam itu menyebabkan hampir keseluruhan rumah pusaka keluarganya musnah dijilat api.
Ketika kejadian dia bersama isteri, ibu serta tiga orang anak sedang berehat di bilik masing-masing.
“Saya dalam bilik sedang tidurkan anak yang berusia 10 bulan. Kejadian disedari isteri yang kebetulan keluar bilik kerana adik ipar datang ke rumah dan mendapati salah sebuah bilik di rumah telah terbakar.
“Kami memang tidak sedar tidak dengar bunyi apa-apa. Mujur Allah masih panjangkan usia kami dan apabila isteri sedar terus kami keluar selamatkan diri, motosikal dan kereta sempat diselamatkan dengan bantuan jiran. Api marak dengan cepat, barangan lain di dalam rumah seperti baju raya isteri, ibu dan anak-anak yang telah dibeli awal antara yang tidak sempat diselamatkan, ” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Saifulizam yang bekerja sebagai pemandu lori SWM Environment baru dua tahun menetap semula di rumah itu untuk menjaga ibu selepas pemergian bapanya.
Mereka mengalami kerugian kira-kira RM150,000 akibat kebakaran itu dan pada masa ini menumpang di rumah bapa saudara yang letak di hadapan rumah mereka.
“Alhamdulillah yang penting kami semua selamat, nyawa kami lebih penting. Barangan yang lain-lain itu insya-Allah ada rezeki lain,” katanya.
Dalam pada itu, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Mohd. Alias Hussin berkata, seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau dan Mersing dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Katanya, kebakaran itu memusnahkan 90 peratus daripada keseluruhan rumah tersebut, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa. – UTUSAN










