PORT DICKSON: Seorang wanita warga emas diselamatkan pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas terperangkap dalam banjir kilat di kebunnya di Kampung Tanah Merah Site A, di Chuah, di sini, malam semalam.
Pegawai APM Port Dickson, Kapten (PA) Mohd. Azri Abu Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.27 malam itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ketua kampung yang memaklumkan mangsa gagal keluar dari kebunnya akibat banjir.
“Anggota APM kemudian bergegas ke lokasi dengan membawa peralatan menyelamat bersama kenderaan. Sebaik tiba, memang benar terdapat individu yang terperangkap.
“Pasukan APM menggunakan tali menyeberangi anak sungai melalui jambatan yang telah ditenggelami air untuk mengambil mangsa. Mangsa turut dipakaikan jaket keselamatan di air untuk di bawa keluar dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Azri lagi, operasi menyelamat mangsa selesai pada pukul 8.28 malam.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui hebahan di media sosial memaklumkan kejadian banjir kilat tersebut bermula pada pukul 7.30 malam di Kampung Tanah Merah Site A.
Menurutnya, sebanyak enam buah rumah dan sebuah sekolah terjejas dalam kejadian tersebut.
Banjir kilat berkenaan juga dipercayai berpunca daripada hujan kategori lebat di kawasan tadahan dan air larian yang banyak diterima dari ladang kelapa sawit di hulu sungai menyebabkan limpahan air sungai.
Punca lain adalah terdapat halangan dari lintasan atau jambatan sedia ada (persendirian) menyebabkan air sungai tidak mengalir dengan lancar, selain halangan dari jambatan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedia ada (aras soffit rendah) menyebabkan air sungai tidak mengalir dengan lancar
Bagaimanapun, air surut selepas beberapa jam hujan berhenti.-UTUSAN.










