JEMPOL: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kepala treler yang terbabas dalam kejadian di Kilometer 6, Jalan Bahau-Kemayan, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa, Koperal Mohd Nadzir Ibrahim, 38, dari Cawangan Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal iaitu anggota polis berkenaan yang sedang bertugas dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke IPD Jempol.
“Setiba di lokasi kejadian dipercayai pemandu treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 29 tahun telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan menyebabkan berlaku perlanggaran di bahagian hadapan dengan motosikal terbabit.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Jelas Chang Hook lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.-UTUSAN.










