Al-Sultan Abdullah buat tinjauan udara, bimbang paras air sungai Pahang surut - Utusan Malaysia

Al-Sultan Abdullah buat tinjauan udara, bimbang paras air sungai Pahang surut

AL-SULTAN Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berkenan meninjau keadaan Sungai Pahang yang semakin surut kesan dari fenomena El-Nino.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap situasi paras air Sungai Pahang yang surut akibat fenomena El-Nino.

Ia susulan tinjauan melalui udara yang dilakukan baginda ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, hari ini.

Al-Sultan Abdullah sebelum ini menitahkan agar solat hajat dilakukan di semua masjid dan surau di negeri ini bermula 23 Mac lalu.

Berikutan itu, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melaksanakan solat hajat khas itu selepas solat Isyak iaitu sebelum tarawih bagi sama-sama mendoakan agar Allah SWT menurunkan hujan dan paras air sungai kembali normal.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, Sungai Pahang di Kampung Pesagi, Chenor, Maran yang dahulunya menjadi sumber rezeki nelayan, kini berubah wajah bagaikan sebuah padang pasir kesan daripada fenomena El-Nino.

Aliran sungai yang sebelum ini menjadi habitat pelbagai spesies ikan bernilai tinggi kini berubah menjadi padang pasir yang membahang pada tengah hari sehinggakan kawasan dengan keluasan lebih tiga kilometer itu boleh dijadikan beberapa buah padang bola sepak.

Ia sekali gus memberi kesan langsung kepada lebih 40 nelayan sungai dari beberapa buah kampung iaitu Kampung Pesagi, Kampung Tanjung Berangan, Kampung Sanding dan lain-lain kehilangan sumber pendapatan.

Turut terkesan ialah 50 sangkar ikan milik penduduk setempat yang terpaksa ditutup manakala lebih 150 sangkar dari kampung berhampiran dalam keadaan kritikal kerana paras air semakin surut dan cuaca panas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN