RAUB: Seorang lelaki meninggal dunia manakala adiknya melecur apabila kediaman mereka di Felda Tersang 1 di sini terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.
Mangsa yang meninggal dunia, Abd. Shukur Abdullah Suhaimin, 46, manakala adiknya, Abdul Hadi, 39, melecur di bahagian tangan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, Pusat Gerakan Bomba dan Penyelamat Pahang menerima panggilan kira-kira pukul 1.42 pagi berkaitan kejadian itu.
Menurutnya, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub dan Sungai Koyan dikejarkan ke lokasi kejadian dianggarkan sejauh 38 kilometer.
“Kebakaran membabitkan rumah jenis sementara dan turut melibatkan rumah ke dua jenis kekal.
“Api berjaya dikawal pada 2.51 pagi dan pihak bomba kemudiannya menemukan seorang mangsa yang terjatuh di bahagian belakang rumah dipercayai ketika cubaan keluar daripada kediamann itu. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.
“Bomba turut menemukan seorang lagi mangsa yang melecur di bahagian tangan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Muhammad Zain berkata, anggaran kemusnahan rumah terbabit adalah 100 peratus manakala rumah bersebelahan hanya 20 peratus yang hanya membabitkan bahagian bilik.
Jelasnya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala yang cedera dibawa ke hospital bagi tujuan rawatan. – UTUSAN










