484,639 rakyat Kelantan daftar, kemaskini PADU

484,639 rakyat Kelantan daftar, kemaskini PADU

MUHD. Nor Aswadi Md. Nor (tengah) sambil diperhatikan Presiden Kemudi, Muhammad Yatimin Abdullah (kanan) melihat seorang pengamal media mendaftar PADU di Pejabat Penerangan Daerah Kota Bharu hari ini.-UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 484,639 orang atau 38.8 peratus daripada 1.2 juta rakyat Kelantan sudah mendaftar dan mengemas kini sistem Pangkalan Data Utama (Padu) setakat semalam.

Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Kelantan, Muhd. Nor Aswadi Md. Nor berkata, meskipun jumlah itu dilihat rendah, Kelantan sebenarnya merupakan negeri di Pantai Timur yang tertinggi mendaftar dan mengemas kini sistem berkenaan.

Menurutnya, justeru, orang ramai tidak perlu bimbang kerahsiaan keselamatan maklumat mereka terjamin kerana sistem Padu diselenggara oleh pegawai kerajaan yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Sistem yang digunakan juga menggunakan sistem dikelolakan pihak Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), siber sekuriti dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

“Sehubungan itu, penduduk di Kelantan disarankan untuk mendaftar Padu sebelum 31 Mac ini selepas ia dimulakan pada 2 Januari lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Pendaftaran dan Mengemas Kini Padu bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Pejabat Penerangan Daerah Kota Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhd. Nor Aswadi memberitahu, langkah mendaftar dan mengemas kini sistem Padu itu bagi mengelakkan orang ramai tidak tercicir daripada untuk menerima bantuan kerajaan.

Katanya, orang ramai boleh berbuat demikian dengan bantuan Jabatan Perangkaan yang sudah mengambil tindakan proaktif sebelum ini dengan membuka kaunter pendaftaran di beberapa lokasi terpilih, selain bekerjasama dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi).

“Japen Kelantan juga bersedia untuk menggerakkan perkhidmatan kaunter bergerak melalui hebahan untuk masuk ke lokasi tertentu bagi memberi peringatan, kesedaran kepada orang ramai dan penduduk kampung mengenai Padu,” ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Padu iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.

Pelaksanaan Padu dilakukan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan Padu, bagi membolehkan perkhidmatan lebih baik dan cekap disampaikan kepada rakyat.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×