120 pelacur, GRO ditahan Jabatan Imigresen di pusat hiburan Kuantan - Utusan Malaysia

120 pelacur, GRO ditahan Jabatan Imigresen di pusat hiburan Kuantan

JAFRI EMBOK Taha (berdiri, dua dari kiri) memeriksa dokumen milik salah seorang wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan di premis hiburan sekitar bandar Kuantan. - UTUSAN/ NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 120 pelacur dan gadis pelayan pelanggan (GRO) berusia antara 19 hingga 49 tahun ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di 17 premis hiburan di sekitar bandar raya ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, turut ditahan, 11 warga tempatan iaitu lelaki berusia antara 25 hingga 46 tahun yang merupakan penjaga premis.

Katanya, operasi bermula 11 malam tadi dilakukan melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Pahang.

“Operasi ini turut disertai oleh Pasukan Taktikal Khas (Pastak), JIM Perlis, JIM Perak dan JIM Negeri Sembilan dijalankan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama tiga minggu.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi diatur gerak ke 17 buah premis yang terdiri daripada empat buah premis pusat hiburan, sembilan buah premis kelab malam dan empat buah premis pelacuran,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JIM Kuantan di sini hari ini.

Tambah Jafri Embok, daripada jumlah yang ditahan itu, 103 merupakan wanita warganegara Thailand, dua (Laos), 11 (Vietnam), dua (Myanmar) dan dua wanita warganegara Indonesia.

Katanya lagi, turut ditahan lima lelaki warganegara Myanmar, seorang Indonesia, 11 Bangladesh dan tiga orang lelaki warganegara China.

“Hasil semakan awal mendapati 94 daripada yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sahlaku sementara yang selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, menerusi serbuan dilakukan, pihak JIM menemukan bilik-bilik rahsia dalam premis yang dipercayai sebagai lokasi bagi persembunyian warganegara asing apabila diserbu oleh pihak berkuasa.

“Terdapat seorang lelaki warganegara asing yang berada di premis tersebut cuba untuk melarikan diri dengan melompat dari tingkat dua premis dan terjatuh hingga mengakibatkan kecederaan. Pegawai operasi bertindak pantas menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pasukan operasi turut merampas sejumlah kondom, dokumen premis, rekod perniagaan, kunci premis dan peralatan seks.

“Turut dirampas 67 naskah pasport Thailand, dua naskah pasport Laos, 10 naskah pasport Vietnam, dua pasport Myanmar, tiga pasport Indonesia dan 10 naskah pasport Bangladesh.

“Selain itu, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM7,880, 21 unit telefon bimbit, gel pelincir, gelang tips, tuala dan peralatan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Beliau memberitahu, modus operandi di pusat hiburan terbabit adalah dengan melakukan promosi wanita warganegara asing menggunakan foto mereka melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan WeChat.

“Wanita warganegara asing yang dipilih akan diuruskan oleh lelaki warganegara
tempatan yang dipercayai sebagai penjaga premis sebelum pelanggan ke bilik yang disediakan. Bayaran dikenakan antara RM300 hingga RM400 bergantung kepada pakej yang ditawarkan.

“Transaksi bayaran yang digunakan bagi urusniaga ini adalah secara dalam talian atau tunai sebelum wanita warganegara asing tersebut diserahkan kepada pelanggan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN