Wanita hamil maut, motosikal dilanggar van klinik pergigian - Utusan Malaysia

Wanita hamil maut, motosikal dilanggar van klinik pergigian

LOKASI kejadian nahas sebuah motosikal dengan sebuah van klinik pergigian di Kilometer 37.8 Jalan Seremban-Tampin, dekat pekan Kota, Rembau petang tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang wanita yang hamil empat bulan maut selepas motosikal yang diboncengnya terbabit nahas dengan sebuah van klinik pergigian dalam kejadian di Kilometer 37.8 Seremban-Tampin, dekat pekan Kota, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Nana Toni, 32, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Rembau.

Menurutnya, anak mangsa, Norvinsaizul Norsaiful, 3, yang turut membonceng motosikal berkenaan pula mengalami kecederaan luka di kepala dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kota.

“Kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dinaiki mangsa bersama anaknya ditunggangi lelaki yang merupakan adik beradik mangsa dan van jenis Toyota Hiace iaitu van klinik pergigian dipandu lelaki berusia 40-an.

“Siasatan awal punca kejadian mendapati motosikal dalam perjalanan keluar simpang dari arah simpang Klinik Kota di sebelah kiri jalan menuju ke simpang pekan Kota di sebelah kanan jalan. 

“Ketika motosikal mengubah haluan dari kiri ke kanan jalan telah dilanggar oleh van yang bergerak terus dari arah Seremban menghala ke Tampin,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Hazri lagi, akibat kemalangan itu, pembonceng mengalami kecederaan parah di kepala dan telah dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut, namun pada pukul 4.30 petang, mangsa telah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN