UMNO pertaruh 'taktik' baharu tawan hati rakyat Kelantan menjelang PRU16

UMNO pertaruh ‘taktik’ baharu tawan hati rakyat Kelantan menjelang PRU16

Ahmad Jazlan Yaakob-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: UMNO Kelantan sedia mempertaruhkan ‘taktik’ baharu dalam usaha menawan hati rakyat Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) walaupun ditolak sejak 30 tahun lalu.

Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ramai yang beranggap parti itu berdepan kesukaran untuk menawan Kelantan namun beliau tetap positif perubahan mampu berlaku.

“Dalam politik apa sahaja boleh terjadi, kita ambil contoh bagaimana UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara selama 60 tahun sebelum ini boleh tumbang pada PRU14.

“Jadi, kita akan tampil dengan idea dan pendekatan baharu dalam usaha menarik sokongan rakyat. Jika idea lama itu bagus, ia akan turut digunakan,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Liga Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di sini hari ini.

Ahmad Jazlan memberitahu, beliau yakin kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan mampu memperkasakan lagi gerak kerja menjelang PRU16 nanti.

Katanya, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu BN dan PH tidak sempat untuk menyusun strategi disebabkan baharu menjalinkan kerjasama di peringkat pusat.

“Alhamdulillah kerjasama semakin bertambah baik pada hari ini. Saya lihat kali ini semua jentera dalam BN dan PH perlu diperkemaskan supaya kita bergerak seiring menjelang PRU16 nanti.

“Oleh itu, kita akan adakan Konvensyen Kerajaan Perpaduan melibatkan parti gabungan seperti BN dan PH selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujarnya.

Ahmad Jazlan yang merupakan Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan berkata, konvensyen itu akan menjadi platform menyediakan rancangan lebih baik bagi ditawarkan kepada rakyat Kelantan.

Katanya, pada masa samai fokus kepada penerangan berkait dengan dasar-dasar yang dibawa oleh pucuk pentadbiran negara pada hari ini akan turut diberikan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×