PONTIAN: Berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit, kedai makan dan eksesori telefon, namun sebenarnya menjalankan kegiatan perjudian haram dan 27 premis di sekitar Daerah Pontian menerima padah apabila bekalan elektrik premis tersebut dipotong dalam Ops Dadu pada 1 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, premis di sekitar Pontian itu juga menjual tambah nilai judi dalam talian telah digempur dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, antara premis yang dipotong bekalan elektrik mengikut pecahan balai Polis ialah Permas 8 premis, Pekan Nanas ( 3 ), bandar Pontian ( 8 ), Kayu Ara Pasong ( 2 ), Benut ( 5 ) dan Ayer Baloi 1 premis.
Menurut beliau, operasi yang bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 6.30 petang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Supritendant Polis ( DSP ) Abd. Hamid Abdul Rahmana, manakala TNB diketuai oleh Kamaludin Haron.
“ Prosedur pemotongan bekalan elektrik sepertimana diperuntukan di bawah Sek. 21A Akta Rumah Judi Terbuka ( ARJT ) 1953 ke atas premis yang menjalankan aktiviti perjudian,” katanya dalam satu kenyataan disini, hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, polis memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan sebarang penganjuran aktiviti perjudian.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjalankan kegiatan ini dengan menjadikan premis mereka sebagai tempat menjual tambah nilai judi dalam talian,” ujarnya.
Katanya, sebelum itu pada bulan Jun tahun lalu, 30 premis juga telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik kerana terlibat menjalankan aktivit perjudian termasuk yang pernah diserbu sebelum ini.
Menurut beliau, premis yang diserbu melibatkan 11 premis di bandar Pontian, bandar Pekan Nanas ( 9 ), Pekan Kayu Ara Pasong ( 1 ), bandar Benut ( 3 ), Pekan Ayer Baloi ( 3 ) dan Pekan Permas 3 premis.










