PETALING JAYA: PLUS Malaysia mengaktifkan laluan ‘Smartlane’ di 14 lokasi strategik bagi membantu melancarkan pergerakan trafik ketika waktu puncak sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2024.
Menurut PLUS, usaha itu merupakan inisiatif pihaknya dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga
Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menambah kapasiti lorong sedia ada di laluan terbabit.
“Sehubungan itu, pengaktifan ‘Smartlane’ akan dilaksanakan di lokasi Bukit Tambun hingga Plaza Tol Juru (KM150.9 hingga KM150.5 Arah Utara); Bandar Cassia hingga Hentian Sebelah Sg. Bakap (KM155.3 hingga KM156.0 Arah Selatan); Gua Tempurung hingga Gopeng (KM306.7 hingga KM297.0 Arah Utara) dan Slim River hingga Sungkai (KM367.3 hingga KM354.0 Arah Utara).
“Selain itu di Sungkai (354.0 hingga KM356.0 Arah Selatan); Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang hingga Sg. Buaya (439.5 hingga KM435.5 Arah Utara); Susur Keluar Petron, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) hingga Subang (KM11.2 hingga KM13.3 Arah Utara) dan Nilai hingga R&R Seremban (KM280.0 hingga KM276.0 Arah Selatan).
“Seterusnya di Restoran Jejantas USJ hingga Seafield (KM6.1 hingga KM8.1 Arah Utara); Port Dickson hingga Seremban (KM260.0 hingga KM263.1 Arah Utara); Ayer Keroh hingga Hentian Sebelah Kg. Bemban (KM194.5 hingga KM184.0 Arah Selatan); Kulai hingga Senai (KM27.0 hingga KM19.0 Arah Selatan); Senai hingga Kulai (KM19.0 hingga KM27.0 Arah Utara) dan Dato Onn hingga Pasir Gudang (KM4.5 hingga KM1.9 Arah Selatan),” menurut hantaran di laman sosial.
Menurut PLUS Malaysia, pengaktifan ‘SmartLane’ di lokasi-lokasi terbabit bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak berkuasa pada waktu dan tempoh tertentu sebelum ia dilaksanakan.
“Sila patuhi papan tanda trafik kami ketika berada di lokasi tersebut dan amalkan pemanduan berhemah seperti patuhi lorong secara konsisten dan elakkan kerap menukar lorong; patuhi had laju dan memberi kerjasama demi menjamin keselamatan kenderaan-kenderaan lain dan rancang penukaran lorong dengan berhati-hati apabila menghampiri penghujung laluan Smartlane.
“Pandu cermat dan terima kasih atas kerjasama anda. Muat turun Aplikasi PLUS untuk maklumat info trafik terkini bagi merancang perjalanan anda di Lebuhraya PLUS,” katanya.











