Sudirman tetap hidup dalam ingatan

Sudirman tetap hidup dalam ingatan

FATEN Zulaika Nordin (kiri) dan Norsakinah Mohd Kharulnizam berdoa selepas membersihkan pusara Sudirman Arshad di Kampung Chengal, Temerloh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Lagu Merisik Kha­bar dan Salam Terakhir nanyian Allahyarham Sudirman Arshad, penyanyi legenda masih segar dalam ingatan para peminatnya sungguhpun 32 tahun telah menghadap Sang Pencipta.

Sudirman adalah antara tokoh kebanggaan penduduk Temerloh selain pelakon dan pengarah, Datuk S. Roomai Noor dari Kampung Tengah dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dari Kampung Buntut Pulau.

Semalam genap 32 tahun pemergian pe­nyanyi tersohor Asia itu yang membawa 1,001 kenangan manis kepada mereka yang membesar dengan alunan gemersik suaranya.

ALLAHYARHAM SUDIRMAN HAJI ARSHAD

Pusaranya di Tanah Per­kuburan Kampung Chengal, Batu 1, Temerloh kini hanya ditemani sepohon puding yang hidup subur di atasnya.

CUCU

Kunjungan Utusan Malaysia di pusara Allahyarham semalam terserempak cucu-cucu saudara Sudirman sedang membersihkan pusara penyanyi rakyat itu.

Bagi Faten Zulika @ ika Nordin, 29, dari Kampung Batu 1 di sini dia berbangga dengan Allahyarham yang boleh dijadikan contoh kepada masyarakat.

Menurut cerita arwah ibu Fatimah Zaharah Abu Bakar, Sudirman sering pulang ke Temerloh bertemu sanak saudara. Tiada langsung riak sombong atau meninggi walaupun berada di puncak populariti.

“Saya gemar semua lagu Su­dirman seperti Merisik Khabar dan Salam Terakhir yang memberi satu pengertian isi hatinya kepada para peminat,” katanya.

NorSakinah Mohd Kharulnizam,22, berkata, Allahyarham Sudirman bagaikan hidup kembali pada akhir bulan Ramadan dengan lagu hari rayanya dan pada Bulan Kemerdekaan lagu popular Tanggal 31 Ogos dan Warisan.

Saharuddin Lela, 66, dari Felda Jengka berharap kerajaan membina semula rumah asal Sudirman sebagai galeri dan memorial sejarah atau untuk dikenang generasi akan datang.

PENGEBUMIAN

Bagi Khairul Nirwan Bahaudin, 44, tidak dapat melupakan ‘kemeriahan’ upacara pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Kg Chengal, Batu Satu pada 22 Februari 1992.

“Bandar Temerloh penuh dengan lautan manusia dari seluruh negara menyebabkan laluan utama sesak.

“Saya yang berusia enam tahun ketika itu turut memegang keranda Allahyarham ketika dibawa ke tanah perkuburan untuk dise­madikan. Saya antara insan yang hadir berdoa di majlis pengebumian penyanyi rakyat itu.

Tokoh Budaya Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Dr.Aripin Said berkata, satu legasi Allahyarham Sudirman pa­ling di­ingati ialah kejayaanya mengetengahkan semangat patriotik dalam lagu-lagunya yang mendidik anak muda erti sebuah kecintaan kepada bahasa, bangsa dan negara.

Tegasnya, jiwa dan semangat kebangsaan penyanyi tersohor ini perlu diteladani penyanyi muda supaya pepatah ‘ harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama menjadi realiti dalam kehidupan manusia sejagat.

“Hilangnya di persada seni suara bagaikan tidak terasa kerana penyanyi popular itu mempunyai vokal yang unik membawa lagu-lagu yang dekat di hati para peminatnya malah suara gemersiknya turut mempersonakan orang Barat di London,” katanya.

Abdul Rahman Ghani, 60, dari Felda Kota Gelanggi 1 membesar dengan lagu-lagu Sudirman berwatak yang periang, ikhlas dan sangat patriotik terhadap bangsa dan negaranya.

Zulkifli Hussain 48, dari Kuantan kagum dengam kepin­taran menguasai pentas sambil berlawak spontan serta kebolehan melukis yang sukar ditan­dingi artis hari ini.

Allahyarham Sudirman meng­­hembus nafas terakhir pada 22 Februari 1992 di rumah kakak­nya di Kuala Lumpur pada usianya 37 tahun akibat komplikasi pelbagai sakit saraf.

Allahyarham lahir pada 25 Mei 1954 di No 48, Jalan Ibrahim Temerloh. Berkelulusan undang undang beliau merupakan satu satunya penyanyi Malaysia yang dinobatkan sebagai pe­nyanyi tersohor di Asia pada satu majlis di London.

Allahyarham Sudirman adalah bekas Juara Bintang RTM 1976. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN