JEMPOL: Satu sindiket mencuri lembu di daerah ini berjaya ditumpaskan pihak polis selepas dua orang lelaki ditangkap, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kira-kira pukul 1.37 petang semalam, satu laporan polis telah diterima daripada pengadu yang kehilangan 12 ekor lembu miliknya yang dipercayai telah dicuri.
Jelasnya, kehilangan dilaporkan di kawasan kebun Felda Pasoh 3, Batu Kikir di sini.
“Bertindak di atas laporan yang diterima, pihak polis telah berjaya mengesan dengan menangkap dua lelaki dipercayai terlibat mencuri lembu yang dilaporkan hilang.
“Kedua-dua suspek berusia 42 dan 45 tahun itu masing-masing ditangkap di Serting Tengah, Batu Kikir dan di Bandar Seri Jempol. Modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini dengan menggunakan alat menyumpit dan ubat cecair pelali bagi melemahkan lembu-lembu yang dicuri,” katanya hari ini.
Menurut beliau, lima ekor lembu milik pengadu yang hilang juga telah dijumpai semula di kandang di rumah salah seorang suspek.
“Beberapa barang juga telah dirampas daripada lelaki yang ditangkap dan pihak polis percaya dengan tangkapan ini dapat menyelesaikan kumpulan sindiket mencuri lembu.
“Kedua-dua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. Pihak polis juga sedang mengesan seorang ahli sindiket yang masih bebas,” katanya.-UTUSAN.










