KOTA TINGGI: Seorang adik sempat berkongsi gaji ‘terakhir’ dengan kakaknya sebelum maut dalam kemalangan yang turut meragut nyawa seorang lagi kakaknya di Jalan Kota Tinggi-Penawar berhampiran Felda Air Tawar 3, dekat sini hari ini.
Nurul Quyyum Darwis, 39, tidak menyangka akan kehilangan dua adiknya serentak dalam sekelip mata, bahkan turut rebah selepas dimaklumkan tentang berita itu.
Menurutnya, Mohamad Syahriel Aiman Darwis, 22, yabg maut dalam kemalangan itu merupakan adik bongsu, manakala Nurul Saidatul Akmar, 36, pula anak ketiga daripada lima beradik.
“Dua hari lepas saya sempat berjumpa dengan adik lelaki, ketika itu dia ada beri duit RM50 kepada saya. Katanya duit gaji aku ini kau rasalah, mana tahu ini yang terakhir. Memang pelik sebab sebelum ini tidak pernah dia beri saya duit.
“Namun, saya hanya menyangka dia sekadar bergurau dan tidak sangka benar-benar itu duit terakhir diberi selepas dia terkorban dalam nahas itu. Adik perempuan pula saya sempat hubungi malam tadi mengajak dia datang rumah kerana ada buat majlis hari lahir anak hari ini, tidak sangka kami tidak dapat berjumpa selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi hari ini.
Diia difahamkan dua adik itu bersama ibu mereka, Rukiah Mohd. Alwee, 61 dan anak saudaranya, Muhammad Khalif Iffat Miran, 5, menaiki Proton Wira dari Klinik Kesihatan Felda Air Tawar 2 dan ibunya kerap ke mana-mana bersama adik perempuannya itu kerana dia pandai memandu.
Ibunya yang mengalami patah kaki kiri akibat kemalangan itu dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anak saudaranya yang kritikal dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Dalam pada itu, ibu mentua Nurul Saidatul tidak menyangka mimpi melihat anaknya membina pondok kecil dengan dua tiang seakan-akan pusara sehingga mengganggu lenanya malam tadi menjadi kenyataan.
Wasilah Samsuri, 68, terjaga pada pukul 3 pagi dan terus tidak dapat melelapkan mata kerana tidak sedap hati.

“Mimpi saya jadi nyata bila lihat anak buat pondok kecil dengan hanya dua tiang malam tadi. Apabila bangun pagi saya cuba juga hendak hubungi menantu dan anak, tetapi kerana agak sibuk jadi tidak sempat. Bila dapat berita kemalangan itu pada tengah hari memang terkejut, terus saya hubungi anak bertanya hal tersebut sebelum dia memberitahu isteri dan anaknya terlibat kemalangan.
“Arwah sebelum ini menetap bersama saya sebelum berpindah ke Kampung Tembioh sebulan lepas. Dia memang sering ulang-alik menghantar ibunya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda Air Tawar 2. Cucu saya sepatutnya sekolah, tetapi dia dalam proses pindah sekolah sebab itu ikut ibunya sekali,” katanya. – UTUSAN










