KOTA KINABALU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah menerima wang suapan RM2,000 bagi membebaskan individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Tertuduh, Zakaria Mohd. Jasni, 40, membuat pengakuan tidak bersalah semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Jason Juga di Mahkamah Khas Rasuah, hari ini.
Tertuduh didakwa menerima wang suapan berjumlah RM2,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik individu lain sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah, di sebuah premis di Kudat pada 18 Jun 2021, kira-kira pukul 12.20 tengah hari.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM3,000 beserta seorang penjamin tempatan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh untuk melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan dan diminta tidak menganggu saksi. – UTUSAN










