Samirah, dua remaja kekal bebas tuduhan bunuh Nazrin - Utusan Malaysia

Samirah, dua remaja kekal bebas tuduhan bunuh Nazrin

Samirah Muzaffar diiringi peguam ketika hadir bagi mendengar keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan di Mahkamah Rayuan Putrajaya di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi mengekalkan keputusan yang melepaskan dan membebaskan bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki daripada tuduhan membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, enam tahun lalu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan.

“Kami mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan sebarang kes prima facie dan kami mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu,”ujar Hakim Vazeer Alam.

Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam, melepas dan membebaskan Samirah dan dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin atas alasan antaranya pihak pendakwaan gagal prima facie kes dan gagal membuktikan bahawa Nazrin dibunuh di antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu keesokan harinya.

Samirah dan dua remaja lelaki itu pertama kali dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh Nazrin pada 4 Mac 2019 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Mac 2019.

Turut berhadapan tuduhan sama ialah seorang pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang dipercayai bersubahat dan sepatutnya dituduh bersama, namun wanita masih bebas.

Perbicaraan bermula 6 September 2019. Pada 14 Februari 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr. Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzwan serta Che Elainee dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN