YALA: Sikap segelintir rakyat Malaysia yang enggan mematuhi undang-undang jalan raya di Thailand menyebabkan mereka yang melancong ke negara ini berdepan risiko kemalangan.
Corak pemanduan di negara ini berbeza apabila kerajaan Thailand menetapkan had laju bagi kenderaan dan motosikal hanyalah 90 kilometer sejam (kmj) dan sebagaimana 110 kmj di Malaysia.
Lorong lebuh raya yang luas dan lurus membuatkan rakyat Malaysia begitu ‘seronok’ untuk memandu laju tanpa mengikut had kelajuan yang ditetapkan.
Bukan itu sahaja, lebuh raya di negara ini turut berbeza di Malaysia apabila mempunyai banyak laluan yang membolehkan kenderaan membuat pusingan U.
Pada masa sama, motosikal yang ditunggang oleh penduduk Thailand akan melintas dan membuat pusingan U di sesetengah kawasan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya yang membabitkan pengguna jalan raya dari Malaysia akibat gagal memahami corak pemanduan di sini.
Melihat kepada situasi itu, Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menasihatkan rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand menggunakan kerenderaan sendiri supaya waspada dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya di negara ini.
Katanya, beliau melihat kegagalan memahami undang-undang jalan raya di negara ini menjadi punca rakyat Malaysia terlibat dengan kemalangan.
“Had laju di negara ini sekitar 90 kmj dan bukan 110 kmj seperti di Malaysia. Jadi fahami dan patuhilah peraturan tersebut,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Fahmi turut mengingatkan rakyat Malaysia yang membawa kenderaan ke negara ini supaya mengembalikan semula borang deklarasi kenderaan kepada Jabatan Kastam Thailand.
Katanya tindakan itu perlu dilakukan sebelum mereka memasuki Malaysia bagi mengelakkan berdepan denda.
“Saya dimaklumkan, ramai rakyat Malaysia terlupa menyerahkan semula borang deklarasi kenderaan mereka pada Kastam Thailand. Pada masa ada, ada juga tersalah kaunter dan menyerahkan kepada pihak Imigresen Thailand.
“Jika situasi itu berlaku, Kastam Thailand menganggap kita tinggal lebih masa apabila tiada rekod menyatakan kita sudah meninggalkan negara itu,” ujarnya.
Ahmad Fahmi berkata, kesilapan menyerahkan borang deklarasi itu kepada kaunter Imigresen Thailand boleh menyebabkan data rakyat Malaysia meninggalkan negara ini tidak direkodkan.
“Jika berlaku, rakyat Malaysia boleh didenda 1,000 Thai Baht (RM132.70) sehari bermula pada tarikh luput penyerahan borang deklarasi kenderaan,” ujarnya.











