PONTIAN: Projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan melibatkan laluan Senai Utara ke Sedenak daripada empat menjadi enam lorong akan dimulakan pada Jun ini.
Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, projek pelebaran laluan sepanjang 21.8 kilometer (km) itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Katanya, khamis lalu LLM dan Plus Malaysia Berhad (PLUS) sudah memberi taklimat kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenaan perkembangan pembangunan projek pelebaran lebuhraya berkenaan.
Berita berkaitan:
“Selain Senai Utara ke Sedenak, projek pelebaran turut melibatkan Sedenak- Machap sepanjang 17.3 km yang dijangka bermula pada 2025 dan sedang dipertimbangkan pelebaran sehingga ke Ayer Hitam,” katanya ditemui selepas merasmikan program berkhatan ‘Gerbang Remaja’ di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Pinggan.
Seramai 90 kanak-kanak menyertai program berkhatan anjuran bersama Pejabat Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Pejabat Pendidikan Daerah Pontian dan Pusat Khidmat DUN Benut itu turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Abd. Rahman Salleh.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, kerja-kerja pelebaran dari Senai Utara ke Sedenak berdepan cabaran memandangkan keadaan muka bumi yang berbukit dan curam.
Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berharap, projek pelebaran lebuhraya di Johor akan diberi keutamaan dan berjalan lancar.
“Beberapa langkah sedang diperhalusi termasuk kenderaan berat yang menggunakan lebuhraya mungkin akan dijadualkan semula perjalanan mereka.
“Selain itu, sebahagian kenderaan berat akan dialihkan menggunakan jalan Persekutuan, namun perkara masih diteliti dan dibincangkan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu dilaporkan bersetuju melebarkan lebuhraya di kawasan Johor dengan kos peruntukan sebanyak RM931 juta. – UTUSAN











