JOHOR BAHRU: Polis mengambil keterangan seorang lelaki yang disyaki mendera anjing peliharaannya seperti yang tular dalam laman sosial Facebook, dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes tersebut sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Sebelum ini pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang wanita berusia 49 tahun yang mendakwa melihat kejadian seorang lelaki merotan seekor anjing.
“Kita mengesan satu video tular dalam Facebook ‘Malaysian Dogs Deserve Better’ berdurasi 29 saat yang memaparkan seorang lelaki bertindak merotan seekor anjing peliharaannya. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam, Khamis lalu di sebuah taman perumahan dekat Taman Johor Jaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menerusi video berkenaan, kelihatan seorang lelaki memukul anjingnya dengan menggunakan rotan berulang kali di pekarangan sebuah rumah.
Dalam video yang sama, individu itu turut mengheret anjing berkenaan dalam keadaan marah sebelum haiwan itu diarahkan masuk ke dalam rumah.
Mohd. Sohaimi menasihatkan orang ramai tidak melakukan penganiayaan terhadap haiwan peliharaan dan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran tentang perlindungan terhadap haiwan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1)(a) Акта Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN











