Pesara tentera ditemukan maut selepas 20 jam kemalangan - Utusan Malaysia

Pesara tentera ditemukan maut selepas 20 jam kemalangan

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Samsuri Noh yang meninggal dunia selepas kereta Proton Iswara dipandunya terbabas ke dalam gaung di Kilometer 65, Jalan Yong Peng-Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kehilangan hampir 20 jam seorang pesara tentera terjawab apabila dia ditemukan maut di Kilometer 65, Jalan Yong Peng-Kluang akibat kecederaan parah pada bahagian badan dalam kemalangan. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, menurut maklumat waris mangsa, Samsuri Noh, 52, keluar dari rumahnya di Felda Bukit Tongkat kira-kira pukul 10 malam 24 Februari lalu dengan memandu kereta Proton Iswara. 

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.30 malam ketika mangsa keluar dari rumahnya menuju ke Batu 4, Kluang sebelum terbabas dan keretanya terjatuh ke dalam gaung di sebelah kanan jalan. 

“Pada pukul 6.45 petang semalam, pihak polis menerima laporan daripada orang awam berkaitan kemalangan berkenaan sebelum sebuah pasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi untuk melakukan siasatan. 

“Sebaik tiba, anggota mendapati benar kejadian melibatkan sebuah kereta Proton Iswara terjatuh ke dalam gaung yang dianggarkan berkedalaman tujuh meter menyebabkan kejadian hanya disedari orang awam lewat petang semalam,” katanya. 

Menurut Bahrin, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang datang membantu. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayatnya dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Ridzuan Mohd. Zait bersama sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan  EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN