KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mendedahkan masalah infrastruktur dan penyusutan kawasan jelapang padi menjadi punca kelemahan pengeluaran hasil.
Pengerusi KADA, Muhammad Husain berkata, walaupun sudah melepasi purata hasil nasional iaitu 4.1 tan sehektar, namun KADA masih ketinggalan berbanding hasil Selangor (4.32 tan metrik), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (4.24 tan metrik) dan Pulau Pinang (5.05 tan metrik).
“Antara faktor kelemahan prestasi pengeluaran hasil padi adalah ketiadaan sistem pengairan bersistematik kerana KADA pada masa ini tidak mempunyai empangan untuk menampung atau menyimpan bekalan air berbanding jelapang lain yang mempunyai empangan sendiri.
“Selain itu kita turut berdepan masalah penyusutan kawasan jelapang berikutan ada kawasan tanah digunakan untuk tujuan pembangunan seperti komersial dan perumahan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Pengerusi KADA di sini hari ini.
Mohamad berkata, terdapat cadangan untuk menambah kawasan jelapang padi di negeri ini bagi meningkatkan hasil pengeluaran namun ia belum dilaksanakan.
“KADA perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri jika berhasrat untuk membuka kawasan jelapang padi baharu di luar kawasannya kerana ia melibatkan penggunaan tanah.
“Setakat ini sudah ada perbincangan dilakukan bersama pihak kerajaan negeri tetapi belum ada apa-apa keputusan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhammad berkata, KADA telah menjalankan usaha untuk menyediakan benih padi sendiri dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong namun kuantiti benih belum mencukupi.
“Sepatutnya KADA perlu ada benih padi sendiri dan tidak bergantung kepada benih daripada negeri lain seperti Kedah. Kita dalam rangka membuat persiapan ke arah itu. Saya telah berjumpa PPK Puteri Saadong untuk memaklumkan perkara ini kepada mereka.
“Tanpa benih padi sendiri kita mungkin akan berdepan masalah dalam usaha penanaman dan meningkatkan hasil keluaran serta mencapai sasaran ‘Gelombang Padi’ yang merupakan hala tuju baharu dalam transformasi industri padi dan beras negara,” ujarnya.- UTUSAN










