KUALA LUMPUR: Seorang penganggur warganegara Pakistan yang sepatutnya dijatuhi hukuman hari ini kerana merogol dan merompak seorang wanita tempatan di jejantas Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Serdang, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini.
Muhammad Mudasar, 23, meminta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan semula pada sebutan kes hari ini. Prosiding sepatutnya ditetapkan untuk fakta dan hukuman.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh kemudian menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan dan lantikan peguam.
Menurut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang wanita tempatan berusia 29 tahun dengan mengacukan sebilah pisau menyebabkan mangsa dalam ketakutan.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan juga sebatan.
Sementara bagi pertuduhan merompak, Muhammad Mudasar didakwa merompak telefon bimbit jenis Iphone SE dan wang tunai RM80 milik mangsa sama menggunakan sebilah pisau sebagai senjata.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 397 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di jejantas stesen itu di Serdang pada pukul 12.45 tengah malam, 14 Januari lalu.
Semasa prosiding, selepas pertuduhan rogol dibacakan semula, tertuduh mengaku tidak bersalah manakala untuk kesalahan merompak, tertuduh hanya mengakui pertuduhan dan fakta kes namun tidak mengesahkan gambar barang-barang kes selepas ditunjukkan kepadanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim manakala Muhammad Mudasar tidak diwakili peguam.
Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen lain, Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Nor menetapkan 26 Mac ini bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam bagi Muhammad Mudasar dan rakan senegaranya, Muhammad Waqas, 29, yang didakwa merompak secara bersama.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang lagi wanita berusia 20 tahun iaitu dua telefon bimbit masing-masing jenis Samsung dan Iphone dengan menggunakan pisau pukul 11.15 malam pada 30 Disember 2023 di tempat sama.
Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Di mahkamah itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai jurujual pusat beli-belah disamun serta dirogol oleh seorang lelaki Pakistan di sebuah jejantas di Serdang, Seri Kembangan, di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, mangsa bertindak membuat laporan polis pada hari sama kira-kira pukul 3.05 pagi.
Menurut laporan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya berjalan kaki di jejantas berkenaan sebelum telefon bimbitnya disamun kemudian dirogol dengan diacukan pisau oleh seorang suspek pukul 12.40 tengah malam.










