PONTIAN: Seorang pemandu lori maut apabila motosikal ditunggang terbabas akibat melanggar seekor anjing di Kilometer 6.2 Jalan Parit Masjid-Parit Selangor di Kampung Parit Kassim, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8.40 malam itu, mangsa, Kamaruzaman Abdullah, 36, dalam perjalanan dari Kampung Parit Selangor ke Bandar Pontian.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, apabila sampai di Kampung Parit Kassim, mangsa yang menunggang Yamaha Y15 dipercayai melanggar seekor anjing menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di sebelah kanan jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badan dan paha serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayatnya dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu diminta membantu siasatan dengan tampil ke Balai Polis Trafik Ibu pejabat Daerah (IPD) Pontian atau menghubungi pihaknya menerusi talian 07-6871222 atau hotline 07-6869999. – UTUSAN










