Pelajar Mara di Jepun berkumpul jumpa TPM - Utusan Malaysia

Pelajar Mara di Jepun berkumpul jumpa TPM

AHMAD Zahid (tengah) bersama Zambry, Asyraf Wajdi (kanan) dan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Tokyo, Jepun semasa majlis ramah mesra - Facebook/Zambry Abd. Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di Jepun sanggup melalui perjalanan lebih 500 kilometer  kerana ingin bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Situasi tersebut dihadapi dalam kalangan 75 pelajar Malaysia yang menuntut di Tokyo dan sekitarnya bagi menghadiri majlis ramah mesra bersama Timbalan Perdana Menteri.

Majlis diadakan di Restoran The Oven American Buffet, Aqua City Odaiba, Tokyo itu dihadiri pelajar daripada pelbagai latar belakang kursus tajaan  Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, beliau berterima kasih kepada semua yang hadir ke majlis tersebut.

Menurut  beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan sentiasa bersedia membantu dan memastikan pelajar-pelajar tidak kira di mana jua mereka berada supaya dapat menikmati pembelajaran dengan baik dan cemerlang seterusnya menabuk bakti kembali pada negara.

“Dalam ucapan ringkas, saya meraikan pelajar-pelajar ini dan pada masa sama saya menekankan peri pentingnya pembentukan ‘otak dan watak’.

“Sahsiah, jati diri dan adab menjadi keutamaan dan pada masa sama pencapain kepada kecemerlangan akademik, akal dan fikiran juga perlu dititikberatkan,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketika ini di Jepun terdapat 93 pelajar di bawah tajaan Mara yang rata-ratanya merupakan bekas Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Insya-Allah Mac ini ada tambahan lagi 108 orang yang akan datang di bawah tajaan Mara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×