BACHOK: Sepasang suami isteri bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang malah kerugian RM20,000 selepas rumah yang disewa mereka terbakar di Kampung Hujung Repek di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Farehah Azmi, 30 dan suaminya, Nik Yusoff Nik Zul Azhar, 29, tidak sempat menyelamatkan semua barangan elektrik termasuk perabot yang baru dibeli sebelum menyewa rumah tersebut setahun lalu.
Farehah yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, kebakaran itu diketahui selepas menerima panggilan telefon daripada tuan rumah Rosli Majid, 62, yang memaklumkan perkara tersebut.
Menurutnya, semasa ketika kejadian dia sedang bekerja di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tangok yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.
“Sebelum saya dan suami keluar bekerja, kami sudah pastikan semua suis barangan elektrik ditutup.
“Saya ada panaskan sup sebelum keluar bekerja dan sudah menutup api di dapur, namun bomba ada memaklumkan bahawa kebakaran rumah kami dipercayai berpunca daripada litar pintas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Farehah memberitahu, pemilik rumah juga tidak sempat membantu apabila api kebakaran cepat merebak kerana kebanyakan struktur rumah tersebut diperbuat daripada papan.
Katanya, mereka berdua akan menumpang di rumah saudara mara terdekat sementara mendapat rumah sewa yang lain.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Lokman Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.16 pagi sebelum anggota dan jentera tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu. Kita masih menjalankan siasatan punca kejadian dan anggaran kerugian yang dialami mangsa,” ujarnya.-UTUSAN










