Pas Pahang gesa tubuh jawatankuasa kaji semula Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Pahang - Utusan Malaysia

Pas Pahang gesa tubuh jawatankuasa kaji semula Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Pahang

ROSLI Abdul Jabar (tiga dari kanan) dan Mohd. Zamri Ibrahim (tiga dari kiri) bersama barisan pimpinan Pas Pahang menggesa kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa kaji semula Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pas Pahang menggesa kerajaan negeri segera menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji dan meneliti semula Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Pahang.

Ia susulan kebimbangan Pas Pahang terhadap beberapa peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 negeri Pahang yang dilihat mempunyai intipati sama dan hampir sama dengan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar berkata, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kejadian di Kelantan iaitu kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya yang mencabar Perlembagaan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 tidak berulang di Pahang.

“Pas Pahang berharap kerajaan negeri dapat tubuhkan jawatankuasa dengan seberapa segera berkaitan dengan perkara ini untuk mereka buat kajian dan mengadakan solusi terhadap perkara ini supaya perkara yang sama tidak berlaku di Pahang.

“Kami tak ada masalah kalau berlaku pindaan itu asalkan pindaan itu bertepatan dan juga bersesuaian dengan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Pas Kawasan Kuantan di sini hari ini.

Rosli berkata, Pas Pahang bersedia memberikan kerjasama untuk menghantar wakil yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam bidang berkaitan sekiranya diperlukan berikutan isu berkenaan melibatkan isu masyarakat negeri ini.

“Isu ini adalah isu negeri dan rakyat. Kerajaan negeri perlu mengambil tindakan segera. Jika lambat bertindak akan memberi kesan kepada kes-kes yang sedang berjalan.

“Kita juga berharap agar kerajaan negeri mengeluarkan satu penjelasan tegas berkaitan perkara ini supaya Enakmen Jenayah Syariah di Pahang terpelihara,” ujarnya.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas (Luham) Pahang, Mohd. Zamri Ibrahim berkata, pihaknya mengenalpasti sekurang-kurangnya lima Seksyen di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Pahang mempunyai intipati sama dan hampir sama dengan 16 Seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan.

Lima Seksyen berkenaan ialah Seksyen 28 (muncikari), Seksyen 51 (penyalahgunaan tanda Halal, Seksyen 21 (memusnahkan atau mencemarkan masjid, Surau dan sebagainya), Seksyen 42 (menggalakkan maksiat) dan Seksyen 26 (berada di rumah perjudian).

“Berdasarkan penelitian saya, kita tidak ada mendengar apa respon dan tindak balas kerajaan negeri sama ada ingin mengkaji perkara ini atau tidak. Jika ingin mengkaji, apakah tindakannya?,” katanya.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 batal dan tidak sah.

Keputusan disampaikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN