KUALA LUMPUR: Pemilihan Pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah muktamad.
Oleh itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif kekal sebagai Pengerusi RCI, di sebalik gesaan beliau supaya berundur kerana didakwa mempunyai kepentingan konflik dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemilihan pesuruhjaya RCI selaras di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (119) yang merupakan penjalanan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
“Tiada mana-mana pihak lain mempunyai kuasa melantik atau membatalkan pelantikan pesuruhjaya termasuk RCI sendiri.
“Kedudukan ini diperjelas secara nyata dalam kes-kes di mahkamah di Malaysia,” kata beliau di sesi Kamar Khas dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor hari ini.
Beliau berkata demikian semasa memberi penerangan berkaitan penubuhan RCI di bawah subperenggan (C) dalam perenggan (1) Peraturan Mesyuarat 16, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
MASA
Mengulas lanjut, Azalina berkata, tempoh masa ditetapkan bagi siasatan RCI ialah satu hingga tiga bulan dan maksimum enam bulan mengambil kira skop siasatan yang luas dan kompleks.
“Laporan RCI akan dipersembah kepada Seri Paduka dan dibentang kepada Jemaah Menteri supaya tindakan sewajarnya dapat dipertimbang berdasarkan hasil kajian. Kerajaan juga memberi komitmen supaya laporan ini dibentang di Parlimen,” katanya.
Pada 16 Februari lalu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menggesa supaya Md. Raus menarik diri dari kedudukan itu dan kerajaan harus mengganti Pengerusi RCI dengan seseorang tidak berkonflik kepentingan.
Katanya, RCI bagi kes Batu Puteh berkaitan keputusan Kerajaan Persekutuan pada 31 Jun 2018, untuk menarik balik dua permohonan semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap keputusannya pada 23 Mei 2008 yang mana Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri ketika keputusan itu dibuat.
Katanya, Dr. Mahathir mungkin meminggirkan atau tidak menyertai siasatan dijalankan RCI berkaitan kes itu selagi ia dipengerusikan Md. Raus atas konflik kepentingan yang tercetus.
Muhammad Rafique memberi alasan, terdapat isu antara Dr. Mahathir dan Md. Raus yang mana bekas ahli Parlimen Langkawi itu memfailkan satu semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi mencabar keabsahan pelantikan Raus sebagai Hakim Tambahan Mahkamah Persekutuan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bulan ini berkenan melantik Md. Raus sebagai Pengerusi RCI, beserta enam individu bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
ISU
Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesai dengan penglibatan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura.
Pada Disember tahun lalu, Anwar meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun, mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura melibatkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.
Arahan itu meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Batu Puteh yang diserah kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
MENARIK
Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.
Idrus pada Januari 2023, memaklumkan kerajaan berpendapat tindakan menarik balik kedua-dua Permohonan Semakan ke atas keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan Permintaan Tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar.
Katanya, keputusan kerajaan itu adalah berdasarkan mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari 2023, susulan Laporan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (Pasukan Petugas Khas) yang dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri.- UTUSAN










