PETALING JAYA: Tindakan sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) memanjat dan mahu bersembunyi atas bumbung tidak berhasil apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan taktik tersebut ketika serbuan di rumah kedai Jalan Sri Sarawak 20, Taman Sri Andalas, Klang di sini semalam.
Aksi-aksi tersebut berjaya dirakam Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman dengan polis menahan 61 PATI menerusi Op Khas Aman 1/2024.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd. Zain berkata, operasi bermula pukul 11 malam itu dijalankan di rumah kedai terbabit bersama Unit Dron PGU serta Jabatan Imigresen Selangor.
Menurut beliau, operasi tersebut bertujuan untuk membanteras pelbagai jenayah di sekitar kawasan terbabit terutama membabitkan PATI.
“Seramai 93 warga asing diperiksa dan selepas pemeriksaan sebanyak 60 orang ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sementara seorang lagi lelaki tempatan ditahan akibat cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Seramai 31 lelaki warga asing yang ditahan itu terdiri 27 warga Indonesia, Bangladesh seorang dan tiada kerakyatan tiga orang manakala wanita warga asing yang ditahan adalah 29 orang terdiri Indonesia (28) serta tiada kerakyatan seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shuhaily berkata, seorang lelaki tempatan yang ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta disyaki terlibat dalam penggunaan dadah jenis ganja.
“Kesemua PATI yang ditahan diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- UTUSAN










