Najib bebas Ogos 2028

Najib bebas Ogos 2028

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 apabila hukuman penjaranya dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun.

Denda juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Urusetia Lembaga Pengampunan dalam satu kenyataan memaklumkan, sekiranya Najib tidak membayar denda tersebut, tempoh penjara beliau ditambah selama setahun dari tarikh pembebasannya itu.

Berikut adalah kenyataan penuh Lembaga Pengampunan:

KENYATAAN MEDIA

LEMBAGA PENGAMPUNAN BAGI WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, LABUAN DAN PUTRAJAYA KALI KE-61 2 FEBRUARI 2024 (JUMAAT)

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah bersidang pada 29 Januari 2024. Sebanyak lima (5) kertas pengampunan termasuk permohonan YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Oleh yang demikian, YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000.00 dikurangkan kepada RM50,000,000.00.

Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak akan ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.

URUSETIA LEMBAGA PENGAMPUNAN
WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN, KUALA LUMPUR, LABUAN DAN
PUTRAJAYA
BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG-UNDANG
JABATAN PERDANA MENTERI
2 FEBRUARI 2024

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN