KLUANG: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas lalu melanggar penmbahagi jalan di Kilometer 62.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, ketika kejadian, mangsa, Muhammad Nur Mustakim Seman, 32, berasal dari Kulai yang menunggang motosikal Suzuki Belang R150 dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Batu Pahat secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Akibatnya, mangsa terjatuh di lorong kiri jalan dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurut Bahrin, semakan mendapati motosikal ditunggang mangsa tidak mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans selain lesen memandu mangsa juga sudah tamat tempoh.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (API) 1987.
“Pengguna jalan yang menyaksikan kejadian ini diharap dapat tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










