BACHOK: Lima sekeluarga berdepan detik cemas selepas mereka nyaris lemas akibat ditarik ombak semasa mandi di Pantai Kandis berhampiran sebuah resort di Kampung Aur, Telong di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, kesemua remaja yang berusia dalam lingkungan belasan tahun itu diselamatkan oleh seorang warga emas yang berada tidak jauh dari kawasan pesisir pantai tersebut apabila terdengar jeritan mereka.
Warga emas berkenaan, Awang Daud, 61, berkata, dia terdengar jeritan dari kawasan pantai semasa sedang melakukan kerja-kerja pembinaan di sebuah chalet berdekatan lokasi kejadian.
Menurutnya, dia pada awalnya melihat sekumpulan remaja seperti tidak menghiraukan larangan mandi di pantai itu meskipun bendera merah sudah dinaikkan oleh pihak pengurusan resort tersebut.
“Saya lihat ombak tinggi di pantai itu sebelum terdengar mereka menjerit meminta pertolongan. Saya terus berlari ke kawasan pantai itu yang terletak sejauh 80 meter dari chalet dan mencapai dua pelampung yang disediakan pihak resort.
“Syukur kelima-lima remaja itu yang terkapai-kapai di kawasan pantai berjaya diselamatkan selepas saya melemparkan pelampung ke arah mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Kandis di sini hari ini.
Usaha pihak media untuk menemubual mangsa dan ahli keluarganya tidak berhasil apabila mereka terus bergegas ke klinik untuk rawatan kecemasan.
Menurut Awang yang juga bekas nelayan berkata, kelima-lima mangsa itu bukan penginap resort tersebut dan mereka merupakan pengunjung dari luar kawasan Bachok yang datang berkelah bersama keluarga.
Katanya, berdasarkan pemerhatian, mangsa seperti tidak dapat menjangkakan perubahan laut yang bergelora selepas Monsun Timur Laut (MTL).
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bachok, Leftenan Mohd. Khairi Mat Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.30 pagi dan mendapati mangsa telah diselamatkan orang awam sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan.
Katanya, anggota APM dan bomba turut memberi kaunseling kepada ahli keluarga mangsa mengenai situasi bahaya di kawasan pantai pasca MTL.-UTUSAN










