Lima laporan berkaitan ugutan bunuh Nik Elin- Saifuddin

Lima laporan berkaitan ugutan bunuh Nik Elin- Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail dan Razarudin Husain (kiri) dalam sidang akhbar di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini menerima lima laporan polis berkaitan dakwaan ugutan bunuh terhadap peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelima-lima laporan polis yang diterima itu dibuat di Kuala Lumpur.

“Kita pantau kes ini (berkaitan Nik Elin) di seluruh negara. Sehingga semalam, hanya lima laporan (polis) diterima di Kuala Lumpur.

“Empat laporan itu dibuat di Sri Hartamas, manakala satu lagi laporan dibuat di Jinjang,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di kuarters Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, di sini, hari.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihak polis tidak memandang ringan berkaitan ugutan bunuh yang diterima Nik Elin.

“Tugas polis adalah menjaga keamanan masyarakat. Jadi, kita tidak ambil enteng mengenai ancaman bunuh yang membabitkan nyawa.

“Apabila ada aduan diterima, tindakan akan diambil bagi mengesan individu yang bertanggungjawab. Setakat ini, belum ada tangkapan suspek dalam kes ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Polis Kuala Lumpur menerima tiga laporan polis berhubung dakwaan ugutan bunuh terhadap Nik Elin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, pihaknya membuka tiga kertas siasatan membabitkan dakwaan ugutan bunuh itu.

Menurutnya, daripada tiga kertas siasatan itu, satu kertas siasatan sudah selesai, manakala dua lagi masih dalam tindakan.

Sebelum ini, Nik Elin mendedahkan ada menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 pada 9 Februari lalu memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×