JOHOR BAHRU: Choo Ngiam Choong, 50, tidak menyangka tindakan spontannya menyelamatkan wanita daripada dihanyutkan arus deras di Jalan Bukit Samsu, Jalan Kota Tinggi-Mersing awal bulan lalu diiktiraf ramai pihak.
Dia berbuat demikian kerana berpengalaman menjadi sukarelawan banjir sejak tiga tahun lalu.
“Penghargaan ini akan menjadi pengiktirafan tidak ternilai buat diri saya, semoga ia turut menjadi inspirasi kepada golongan lain untuk membantu pihak-pihak yang dalam kesusahan.
“Kejadian ini banyak mengubah kehidupan saya. Saya semakin ceria apabila ramai pihak kenal dan bertegur sapa kerana kejadian itu menarik perhatian media negara jiran yang turut berkongsi cerita itu. Saya juga mempunyai lebih banyak kawan baharu disebabkannya,” katanya selepas menerima sijil penghargaan pada Majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor 2024, di sini hari ini.
Ngiam Choong merupakan antara sembilan orang awam dan 17 pengamal media cetak dan elektronik menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir.
Ngiam Choong yang merupakan seorang kontraktor mengakui semakin ramai pihak di sekitar Kota Tinggi menegur dan memuji tindakan pantasnya menyelamat dua mangsa dalam kejadian tersebut.
Pada 7 Januari lalu, ketika dia dalam perjalanan menuju ke Mawai dari Kota Tinggi untuk bersarapan bersama-sama rakannya, dia melihat sebuah kereta Perodua Myvi hanyut dalam longkang dengan dua wanita turut dihanyutkan arus deras.
Dalam kejadian tersebut, seorang wanita sempat menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dihanyutkan arus deras dan sempat berpaut pada bahagian bonet kereta.
Ngiam Choong kemudian terus terjun ke dalam longkang tersebut bagi menyelamat wanita berkenaan. – UTUSAN