PETALING JAYA:Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal menganjurkan Karnival TEKUN Madani Peringkat Negeri Selangor pada 1 hingga 3 Mac di Strand Mall, Kota Damansara.
Timbalan Menteri KUSKOPi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, tujuan karnival bagi memudahkan rakyat Selangor khasnya dan penduduk tempatan di Sungai Buloh mendapatkan informasi mengenai produk pembiayaan TEKUN.
Menurut beliau, orang ramai juga berpeluang untuk mengetahui inisiatif dan program-program yang disusun oleh agensi-agensi lain di bawah KUSKOP.
“Karnival ini mendekatkan masyarakat khasnya warga Sungai Buloh dengan informasi, inisiatif, bantuan serta pembiayaan yang disediakan di KUSKOP dan 10 agensi di bawahnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, karnival itu diadakan bagi mewujudkan jaringan perniagaan antara usahawan bagi membina komuniti usahawan TEKUN yang kukuh, berdaya maju, jujur dan progresif.
“Ini merupakan peluang yang baik untuk usahawan setempat mempromosikan produk dan perkhidmatan perniagaan mereka,” katanya.
Kata beliau, terdapat lebih 100 gerai jualan, pameran dan acara menarik seperti Malam Kota Damansara Berselawat, demonstrasi masakan, sukaneka dan cabutan bertuah disusun selama tiga hari karnival tersebut.- UTUSAN









