BEIRUT: Pejuang Hezbollah melepaskan berpuluh-puluh roket ke arah sebuah bandar di utara Israel sebagai tindak balas awal terhadap pembunuhan 10 orang awam termasuk seorang komander pejuang itu di selatan Lubnan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagaimanapun menggesa supaya kedua-dua pihak menghentikan tindakan yang dipanggil peningkatan berbahaya konflik yang selari dengan perang Gaza.
Ia juga mencetuskan kebimbangan konfrontasi yang lebih luas di antara Hezbollah yang disokong Iran dan Israel.
Tentera Israel berkata, mereka membunuh seorang komander dalam unit elit Radwan Hezbollah dan seorang lagi pegawai dalam serangan udara tepat di Nabatieh di Lubnan pada Rabu lalu tanpa menyebut kematian orang awam.
Hezbollah berkata, tiga pejuangnya terbunuh pada hari Rabu dan kemudian mengesahkan bahawa antara mereka ialah Ali al-Debs, seorang komander dalam unit Radwan.
Menurut sumber Lubnan, tujuh daripada orang awam terbunuh di Nabatieh apabila serangan Israel di bandar selatan itu mengenai sebuah bangunan.
Mangsa-mangsa yang maut adalah daripada keluarga besar yang sama termasuk tiga anak.
Terdahulu, berlaku serangan awal ke atas kampung al-Sawana di sempadan yang membunuh seorang wanita dan dua kanak-kanak yang dikebumikan semalam.
Mayat kanak-kanak itu dibalut dengan kain kafan hijau, sangat kecil sehingga kedua-duanya dimuatkan di atas dua kerusi plastik ketika orang ramai datang untuk memberi penghormatan.
Ahli politik Hezbollah, Hassan Fadlallah memberitahu Reuters, musuh akan membayar untuk jenayah ini.
Hassan memberitahu, Hezbollah mempunyai hak yang sah untuk membela rakyatnya.
Sumber yang biasa dengan pemikiran Hezbollah berkata, serangan ke atas Nabatieh menandakan peningkatan konflik, tetapi kebanyakan keganasan dibendung berhampiran sempadan.
Mohanad Hage Ali, dari Carnegie Middle East Center yang berpangkalan di Beirut berkata, walaupun Israel nampaknya menguji had peraturan itu, Hezbollah memberi isyarat bahawa ia mahu mengekalkan perkara ini seboleh mungkin.-REUTERS











