Keluar secara melulu, pelajar parah dilanggar MPV - Utusan Malaysia

Keluar secara melulu, pelajar parah dilanggar MPV

SALAH seorang pelajar SMK Kahang ditenangkan oleh orang ramai selepas terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan Naza Ria di Kilometer 90, Jalan Batu Pahat-Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Dua pelajar dipercayai keluar secara melulu dari simpang sekolah selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cedera parah apabila motosikal dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 90, Jalan Batu Pahat-Mersing petang tadi. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd  Noh berkata, kejadian pada pukul 1.53 petang itu melibatkan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang, dekat sini.

Kemalangan itu melibatkan motosikal Modenas Kriss ditunggang Faiz Akmal Zarimi,18, serta dibonceng rakannya, Muhammad Adib Qayyum, 18, dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria dipandu seorang Guru Besar, Mahasan Mohd. Fuad, 53.

“Hasil siasatan awal mendapati kereta itu dari arah Batu Pahat menghala ke Mersing, manakala motosikal berkenaan dari SMK Kahang mahu keluar simpang masuk ke Jalan Batu Pahat-Mersing. 

“Motosikal dipercayai keluar secara tiba-tiba menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal dinaiki dua pelajar berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Akibat kemalangan itu, Faiz Akmal cedera pada bahagian muka, tangan dan kaki kanan, manakal  Muhammad Adib patah kaki kanan.

Kedua-dua pelajar yang beralamat di Kampung Sri Lukut kini menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini. 

Pemandu Naza Ria, Mahasan Mohd  Fuad, 53, beralamat di Taman Suria di sini tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN