Kebakaran bermula di unit 3, bukan sebab mercun atau bakar kertas - Utusan Malaysia

Kebakaran bermula di unit 3, bukan sebab mercun atau bakar kertas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kebakaran lima unit di tingkat 17, Blok 70 di Flat Sri Sabah, Cheras di sini dipercayai bermula di sebuah unit di blok terbabit.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula di unit nombor tiga di tingkat 17 itu.

Bagaimanapun, jelasnya, punca sebenar kebakaran masih belum dapat dikenal pasti.

“Anjing pengesan (K9) telah digerakkan ke lokasi kejadian namun kita mendapati tiada sebarang unsur khianat atau dakwaan kejadian disebabkan mercun atau membakar kertas (ritual Tahun Baharu Cina)

“Kita juga telah mengenal pasti di mana kebakaran itu bermula iaitu di unit nombor tiga.

“Bagaimanapun, pasukan forensik masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi kenal pasti punca termasuk elemen masalah pendawaian atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Muhammad Salleh, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan penghuni kediaman-kediaman terlibat.

“Ketika kejadian, ada penghuni yang tiada di rumah, ada juga rumah kosong. Jadi kita sedang ambil keterangan mereka,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan lima unit kediaman di Tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Satu lagi unit kediaman yang terletak di tingkat berkenaan berjaya diselamatkan manakala lima unit kediaman yang terjejas mengalami kerosakan antara 85 hingga 97 peratus.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima laporan mengenai kebakaran itu pada pukul 9.19 malam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN