Jualan Kasih Johor bermula Ahad ini

Jualan Kasih Johor bermula Ahad ini

DATUK ZAHARI SARIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor akan mengadakan program Jualan Kasih Johor (KASIH) di 29 lokasi tumpuan seluruh negeri bermula Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, program jualan itu diadakan bersempena perayaan Tahun Baru Cina itu diadakan selama enam hari sehingga 9 Februari ini.

Katanya, bersempena program itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta dengan sasaran penerima manfaat kepada seramai 140,000 orang membabitkan lebih 300 orang usahawan tani.

“Sebagaimana yang telah diumumkan Menteri Besar dalam Ucapan Belanjawan Johor 2024 yang lepas, kerajaan negeri komited membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi pelaksanaan program ini yang menawarkan kaedah jualan secara tampungan/potongan harga barangan keperluan makanan bagi komoditi terpilih.

“Sehubungan itu, semua Bangsa Johor terutamanya masyarakat Cina dijemput hadir bagi memeriahkan program KASIH dan mendapatkan barangan keperluan makanan pada harga yang sangat istimewa,” katanya.

Terdahulu, Zahari mempengerusi Mesyuarat Penyelarasan mengenai program tersebut secara terperinci dari segi pemilihan lokasi serta potongan harga yang akan diberikan.

Majlis Pelancaran KASIH akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 7 Februari 2024 di Pusat Rukun Tetangga Taman Johor, di sini Rabu ini.

Zahari berkata, antara komoditi yang menjadi keutamaan sempena program jualan itu adalah ayam, ikan dan hasilan laut, telur dan minyak masak.

Tambahnya, FAMA Negeri Johor juga akan membuat tampungan harga menerusi Jualan Agro Madani (JAM) bagi komoditi sayur-sayuran dan buah-buahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN