ISKANDAR PUTERI: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyasarkan seramai 50,000 murid sekolah agama akan khatam al-Quran dalam tempoh lima tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri berhasrat menambah dua kelas prasekolah Tadika Agama Johor (TAJ) di setiap daerah, sekali gus dapat menampung permintaan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak bagi mendapat pendidikan awal agama Islam.
“Kita dapati ramai ibu bapa berminat menghantar anak-anak mereka ke TAJ yang menawarkan yuran rendah tetapi kemasukan adalah terhad. Tambahan pula, bukan semua sekolah agama ada kelas tadika ini.
“Sehubungan itu, kita berhasrat untuk menambah bilangan TAJ dengan dua tadika di setiap daerah. Jika sesebuah daerah mempunyai permintaan yang tinggi seperti di Johor Bahru, kita akan pertimbangkan,” katanya merasmikan Majlis Khatam al-Quran Tadika Agama Johor Ke-13 di Stadium Arena Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Hakim Syarie, Muhammad Khaldun Mohamad Sharif dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed.
Pada program tersebut, seramai 745 murid TAJ dari setiap daerah berusia lima dan enam tahun khatam al-Quran.
TAJ adalah program pendidikan yang memberi fokus terhadap perkembangan murid secara menyeluruh serta seimbang diwujudkan sebagai salah satu langkah persediaan bagi murid untuk menghadapi alam persekolahan.
TAJ mula diasaskan pada 2001 dan beroperasi di beberapa buah sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) yang terpilih.
Mohd. Fared berkata, hingga kini dianggarkan sebanyak 201 TAJ beroperasi di seluruh negeri ini.
“Ada sekolah yang mendapat kekangan untuk menyediakan program prasekolah ini kerana bangunan sekolah itu digunakan sepenuhnya.
“Dengan penambahan program tersebut, kita perlu mengambil kira untuk menambah bilangan tenaga pengajar dan pembantu,” katanya. – UTUSAN










