JOHOR BAHRU: Jasad pembantu juruterbang pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, mendiang Roshaan Singh Raina, 43, selamat disemadikan dalam upacara pembakaran di Krematorium Hindu di Jalan Kebun Teh, di sini.
Jasad mendiang dibawa ke pusat itu dari kediaman keluarganya di Sunway Bukit Lenang, di sini usai majlis penghormatan terakhir yang diadakan secara tertutup bermula pukul 10 pagi.
Upacara itu dihadiri kira-kira 100 pengunjung terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan mendiang.
Roshaan dan juruterbang pesawat itu, Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, maut dalam kemalangan pesawat jenis model BK 160 Gabriel yang terhempas, dua hari lepas.
Kedua-dua mangsa terbenam bersama bahagian kokpit pesawat itu yang terhempas di kawasan ladang kelapa sawit dalam kejadian pukul 1.45 petang berkenaan.
Difahamkan, pesawat yang dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 1.28 petang untuk penerbangan rekreasi. – UTUSAN










