PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP tampil memberi `nasihat’ kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain supaya tidak mengulas dan membuat kesimpulan awal mengenai siasatan terhadap bekas pemimpinnya, Tony Pua.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, Razarudin seharusnya mengelak daripada membuat komen yang ke arah menyimpulkan siasatan terhadap Tony kerana siasatan masih berjalan.
“Dalam kenyataan KPN semalam, beliau menggesa supaya orang ramai tidak membuat apa-apa spekulasi mengenai kes Tony kerana masih dalam siasatan.
“Jika KPN membuat kesimpulan bahawa kenyataan Tony bersifat hasutan, mengapa perlu meminta beliau hadir ke Bukit Aman, hari ini untuk membantu siasatan?
“Nampaknya, KPN telah pun mendapati Tony bersalah tanpa memberinya hak untuk mendapatkan siasatan yang betul dan adil,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Tony yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara itu dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan petang ini selepas didakwa mengeluarkan kenyataan yang institusi diraja berhubung pengurangan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Untuk rekod,Lembaga Pengampunan sebelum ini memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.
Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara bekas Presiden UMNO itu dikurangkan dari 12 tahun ke enam tahun dan denda perlu dibayar pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, Razarudin seharusnya menjalankan tanggungjawabnya sebagai KPN secara profesional dan tidak dilihat mempengaruhi proses siasatan.
“Kenyataan sebegitu daripada pegawai tertinggi polis negara tidak menimbulkan keyakinan terhadap kesaksamaan proses siasatan,” katanya.- UTUSAN










