IPOH: Seorang ibu tunggal dan anak perempuannya berusia 15 tahun antara sembilan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan skim pelaburan, bulan lalu.
Selain wanita berusia 47 tahun itu, turut didakwa R. Tharumaraj Pillai, 34; R. Vassanthakumar; 24; J. Subash Kavnder, 25; Muhammad Hafizuddin Muhammad Rafi Keettikandy, 24; Hema Tharshini, 26; C. Kasturi, 20, dan S. Dhaarshini, 24.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Majistret S. Punitha.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh adalah pihak kepada suatu pakatan jahat jenayah yang telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu penipuan skim pelaburan dikenali Bristol Myers Squibb/BMS Providers Resources.
Kesalahan itu dilakukan mereka di sebuah rumah di Lingkaran Meru Valley, Meru Valley Resort di sini pada 17 Januari 2023.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan dan dibaca mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat atau denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vathira Wong Rui Fern sementara kesemua tertuduh diwakili peguam, R.S. Kirthiraj.
Terdahulu, Vathira Wong mencadangkan jaminan RM8,000 kepada setiap tertuduh dewasa manakala jaminan RM5,000 untuk tertuduh bawah umur.
Bagaimanapun, Kirthiraj memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya daripada golongan berpendapatan rendah, mempunyai tanggungan keluarga, tiada pekerjaan tetap dan tidak bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,500 kepada setiap tertuduh manakala jaminan RM2,000 kepada tertuduh berusia 15 tahun.
Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 4 April depan. – UTUSAN










